Oct 20, 2014

Seni Silat Gayong di Kampung Sungai Baharu


SENI MEMPERTAHANKAN DIRI adalah salah satu Seni Budaya Melayu yang masih dipertahankan sehingga ke hari ni. Silat merupakan seni pertahankan diri orang-orang Melayu. Asal usul silat tidak diketahui tetapi seni pertahanan diri ini telah lama diamalkan oleh pahlawan-pahlawan Melayu sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka. Ada yang mengatakan ilmu silat diperolehi melalui pertapa dan ada yang mengatakannya berasal daripada penelitian keadaan alam sekitar. Hasil daripada penelitian ini lahirlah pelbagai seni silat termasuklah Silat Harimau, Silat Garuda, Silat Lincah dan Silat Gayong.

Silat Seni Gayong diasaskan oleh Allahyarham Mahaguru Dato' Meor Abdul Rahman bin Uda Mohd. Hashim.   Beliau mempelajari persilatan ini daripada nendanya, Tuan Syed Zainal bin Syed Idris Al-Attas. Syed Zainal pula   mewarisi persilatan ini daripada Daeng Ambok Solok di Jambi, Sumatera. Silat Seni Gayong ini dipercayai telah   wujud sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi, iaitu sewaktu pemerintahan Sultan Mansor Syah. Silat Seni   Gayong ini telah digunakan oleh hulubalang-hulubalang Melaka sewaktu mereka menentang serangan penjajah Portugis di bumi Melaka pada tahun 1511

Oleh itu, seorang anak muda yang dikenali sebagai Abdul Wahid bin Ismail pada tahun 2008 telah menubuhkan Persatuan Silat Seni Gayong di Kampung Sungai Baharu ini bertujuan untuk menarik golongan remaja dan belia mempelajari seni silat ini. Kini Silat Seni Gayong sering dipersembahkan di Majlis-majlis Keraian dan Perkahwinan.

No comments:

Post a Comment